PUTRAJAYA – Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit mengalami gangguan serius susulan perbuatan vandalisme membabitkan beberapa siri kecurian kabel serta kerosakan sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan, semalam.
Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) dalam kenyataan memaklumkan, insiden pertama berlaku pada pukul 6.20 pagi di kilometer (KM) 48.5, antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1 menyebabkan gangguan awal kepada operasi tren.
Berikutan itu, katanya, perkhidmatan tren gabungan KLIA Ekspres dan KLIA Transit telah diaktifkan pada pukul 6.58 pagi dari KLIA Terminal 2 (T2) dan 7 pagi dari KL Sentral.
“Perkhidmatan tren ulang-alik dari Stesen Salak Tinggi ke KL Sentral turut dilaksanakan pada pukul 7.40 pagi bagi menangani kesesakan waktu puncak.
“Perkhidmatan kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 10 pagi dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari KLIA T2,” katanya hari ini.
ERL berkata, gangguan kedua pula dikesan berlaku pada pukul 5.52 petang di KM43.1 antara Stesen Putrajaya & Cyberjaya dan Salak Tinggi, yang menyebabkan kelewatan ketibaan tren antara tujuh hingga 10 minit.
Lebih memburukkan keadaan, sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan turut terganggu pada pukul 9.57 malam, menyebabkan kesemua perkhidmatan tren digantung serta-merta.
“Sebagai langkah alternatif, perkhidmatan tren ulang-alik dari Stesen Putrajaya dan Cyberjaya ke KLIA T2 telah dimulakan pada pukul 10.20 malam dengan kekerapan setiap 20 minit.
“Penumpang yang ingin ke KL Sentral dinasihatkan mendapatkan pengangkutan lain,” katanya.
Pada awal pagi ini, dua lagi insiden kecurian kabel dilaporkan berlaku, masing-masing pada pukul 4.47 pagi di KM47.2 (antara Salak Tinggi–KLIA T1) dan pada pukul 5.20 pagi di KM40.6 (antara Salak Tinggi–Putrajaya & Cyberjaya).
Menurut ERL, usaha sedang giat dijalankan bagi memulihkan perkhidmatan sepenuhnya dan memohon maaf kepada para penumpang atas segala kesulitan yang timbul.
Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan masing-masing dan mengikuti saluran media sosial rasmi ERL bagi maklumat terkini.
Penumpang yang terjejas turut dibenarkan memohon bayaran balik melalui e-mel di alamat [email protected]. – KOSMO! ONLINE