GEORGE TOWN – Kerjasama strategik antara Myanmar dan Pulau Pinang mencatat satu lagi detik bersejarah apabila Myanmar Airways International (MAI) akan melancarkan penerbangan sulung terus dari Yangon ke negeri ini bermula esok.
Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata, pelancaran laluan penerbangan itu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor pelancongan, pelaburan, pendidikan dan perkhidmatan perubatan antara kedua-dua rantau.
”Penerbangan terus ini merupakan yang pertama oleh syarikat penerbangan Myanmar ke Pulau Pinang dan ia mencerminkan keyakinan terhadap potensi negeri ini sebagai hab serantau.
”Walaupun berlaku tragedi gempa bumi di Myanmar baru-baru ini, Lapangan Terbang Yangon tidak terjejas dengan kejadian tersebut kerana pusat gempa terletak lebih 600 kilometer dari Yangon.
”Namun jumlah penumpang dijangka sedikit terjejas berikutan tragedi ini, jumlah yang terjejas kita belum ketahui lagi,” katanya selepas menghadiri Sesi Pembentangan Myanmar Airways International bersama ejen-ejen pelancongan, di sini hari ini.
Penerbangan sulung MAI akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira pukul 6 petang esok.
Menurut Hon Wai, rakyat Pulau Pinang turut merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada rakyat Myanmar berikutan kejadian gempa bumi dahsyat baru-baru ini yang melanda kawasan sempadan antara Wilayah Sagaing dan Mandalay.
”Fikiran dan doa kami bersama mangsa. Kami berharap proses pemulihan dan pembinaan semula rumah serta kehidupan di Myanmar berjalan dengan lancar,” katanya.
Hon Wai berkata, Pulau Pinang merupakan antara destinasi utama pelancongan perubatan di Malaysia dengan menerima ratusan ribu pesakit antarabangsa setiap tahun, termasuk dari Myanmar.
”Hospital swasta di Pulau Pinang menawarkan rawatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan. Myanmar sudah pun menjadi antara pasaran utama dalam sektor ini dan kami menjangka potensi pertumbuhan yang lebih besar,” katanya.
Selain sektor kesihatan, katanya, Pulau Pinang turut menawarkan kelebihan dalam bidang pendidikan, acara perniagaan dan industri pembuatan, menjadikan negeri ini destinasi strategik untuk pelabur dan pelancong dari Myanmar.
Hon Wai berkata, Pulau Pinang kini dihubungkan dengan 20 bandar utama di Asia dan Asia Barat melalui penerbangan terus, dengan Yangon menjadi destinasi ke-21.
”Pelancaran penerbangan terus ke Chengdu pada 30 April ini bakal mengukuhkan lagi jaringan penerbangan antarabangsa negeri ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE