PETALING JAYA – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr) Zulhelmy Ithnain menyempurnakan upacara ‘keel laying’ bagi projek Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Istanbul, Shipyard, Turkiye, semalam.
Upacara tersebut disaksikan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
TLDM menerusi kenyataan berkata, ‘keel laying’ atau peletakan lunas adalah satu fasa penting dalam pembinaan struktur utama sesebuah kapal.
Menurut TLDM, upacara itu merupakan tradisi dalam industri pembinaan kapal yang menandakan bermulanya aktiviti penyambungan blok-blok utama kapal di limbungan.
“Upacara kali ini adalah kesinambungan kepada upacara ‘steel cutting’ yang dilaksanakan pada 4 Disember 2024, sekali gus menandakan peralihan daripada fasa pembinaan kepada fasa penyambungan.
“Semasa lawatan delegasi Malaysia ke Turkiye, turut dilaksanakan Mesyuarat Project Monitoring Committee (PMC) pada 7 April lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bersama wakil Syarikat,” katanya.
Jelasnya, PMC itu bertujuan untuk memantau pengurusan, pentadbiran, pelaksanaan kontrak dan kemajuan kerja pembinaan LMSB2.
“Pihak syarikat membentangkan kemajuan kerja bagi ketiga-tiga kapal dan menunjukkan kemajuan kerja yang sangat memberangsangkan bagi projek ini.
“Berdasarkan kemajuan kerja semasa, kapal LMSB2 dijangka siap dan dilancarkan pada pertengahan tahun 2026 sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung tahun 2027,” tambah kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE