KANGAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mendedahkan kesalahan melanggar lampu isyarat dan memotong garisan berkembar paling banyak dikesan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) kali ini.
Pengarahnya, Noraini Mohd Nawi berkata, dua kesalahan itu antara yang kerap dilaporkan orang awam melalui aplikasi MyJPJ menerusi ruangan e-Aduan@JPJ sepanjang operasi bermula 24 Mac lalu sehingga semalam.
“Sebanyak enam aduan diterima sepanjang operasi termasuk dua kes memotong garisan berkembar, dua kes gagal mematuhi lampu isyarat merah dan satu kes potong barisan serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.
“Sebanyak 8,591 buah kenderaan diperiksa sepanjang operasi termasuk kenderaan perdagangan dan bas ekspres,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam tadi.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 521 buah kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dan 1,341 notis dikeluarkan oleh JPJ Perlis.
“Bagi kenderaan perdagangan, sebanyak 2,232 buah kenderaan diperiksa. Daripada jumlah itu 77 buah kenderaan dikenakan tindakan dan 224 notis dikeluarkan.
“JPJ turut menjalankan pemeriksaan terhadap 204 bas ekspres di terminal utama negeri ini bagi memastikan tahap keselamatan dan kebolehgunaan teknikal kenderaan berada pada tahap optimum,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE