KUALA LUMPUR – Olahraga Malaysia mendedahkan pihaknya kini dalam proses peralihan pentadbiran bagi menguruskan sepenuhnya program atlet, pelantikan jurulatih serta pembayaran gaji bermula tahun ini.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada perancangan strategik badan induk itu bagi memperkukuhkan struktur pengurusan sukan olahraga negara.
Bagi merealisasikan peralihan itu, pihaknya telah mengemukakan permohonan peruntukan dana sebanyak RM9 juta kepada Majlis Sukan Negara (MSN), namun rundingan mengenai jumlah tersebut masih berjalan.
“Masalah ini sudah berada di peringkat akhir untuk diselesaikan dan setakat ini perbincangan masih terbuka. Saya tidak nampak isu ini perlu diselesaikan secara tegang, sebaliknya dengan cara yang baik.
“Pada mulanya saya tidak bersetuju (uruskan sendiri), tetapi apabila semua persatuan sukan lain bersetuju, maka saya terpaksa akur. Mereka kata ini langkah terbaik dan kita setuju. Jika kita terima dana, maka perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahidan memaklumkan bahawa dana yang disalurkan MSN sebelum ini hanya melibatkan tahun 2024, manakala peruntukan bagi 2025 masih belum diterima.
“Untuk 2025, dana permohonan bernilai RM9 juta belum terima. Selepas ini, saya akan bertemu Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin untuk membincangkan perkara ini.
“Tahun lalu, semua gaji atlet dibayar oleh MSN. Kali ini, persatuan akan uruskan semuanya. Peralihan ini mungkin ada sedikit masalah, sebab itu kita akan berbincang dengan MSN,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, KOM mengumumkan tiga kejohanan Super Siri akan dianjurkan sepanjang tahun ini, dengan Super Siri Final dijangka diadakan pada November depan.
Menurut Shahidan, Super Siri adalah platform penting untuk atlet negara melakukan persediaan menghadapi temasya Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember nanti. – KOSMO! ONLINE