BOLOGNA – Napoli membenarkan juara bertahan, Inter Milan selesa menerajui carta Serie A dengan kelebihan tiga mata gara-gara seri 1-1 dengan Bologna pada aksi di Stadio Renato Dall’Ara awal pagi semalam.
The Partenopei seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal membawa pulang tiga mata apabila mensia-siakan kelebihan gol awal hasil jaringan Andre-Frank Zambo Anguissa pada minit ke-18.
Bologna yang mendominasi perlawanan dengan kawalan padang selain percubaan yang lebih banyak, akhirnya berjaya mendapat gol penyamaan menerusi percubaan menarik Dan Ndoye pada minit ke-64.
Penjaga gol kedua Napoli, Simone Scuffet yang menggantikan Alex Meret kerana demam, bertindak cemerlang apabila menafikan peluang keemasan Bologna untuk menjaringkan gol kemenangan di penghujung perlawanan.
“Kami perlu menerima keputusan ini dengan hati terbuka berdasarkan keseluruhan perlawanan. Kami kekurangan sesuatu dalam aksi ini, lebih-lebih lagi apabila kami dilihat lebih bertahan daripada menyerang.
“Apabila anda hilang rentak di stadium seperti ini, apatah lagi menentang pasukan hebat, ia sesuatu yang sukar. Jadi kami akur dengan keputusan ini,” kata penolong jurulatih Napoli, Cristian Stellini
Bagi Bologna, ia adalah keputusan terbaik buat mereka yang kini dalam perebutan untuk menempah tiket ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Sebagai rekod, Bologna kini berada di kedudukan keempat, satu mata mengatasi Juventus di tempat kelima. – AGENSI