SERDANG – Polis membuka kertas siasatan membabitkan jenayah berhubung insiden kemalangan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 308 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, A A Anbalagan berkata, siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu dibuka susulan laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun sehari selepas kejadian.
Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa ternampak teman lelakinya bersama wanita lain di sebuah pasar rasa dekat Puchong.
“Akibat daripada itu, telah berlaku pertengkaran menyebabkan mangsa dipukul wanita berkenaan sehingga cedera di muka sebelum dileraikan oleh teman lelakinya.
“Mangsa juga bergelut dengan teman lelakinya ketika cubaan mendapatkan telefon bimbit wanita tersebut mengakibatkan peranti itu jatuh, pecah dan rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, teman lelaki mangsa kemudian menawarkan untuk menghantarnya pulang ke rumah bersama wanita terbabit, namun telah memandu menghala ke kampungnya.
Katanya, sepanjang perjalanan, mangsa telah dipukul oleh kedua-dua individu terbabit sebelum mereka berpatah balik ke rumah mangsa.
“Tiba di rumah mangsa di Bandar Baru Sri Petaling, teman lelakinya telah memecut laju sehingga hampir melanggar abang wanita tersebut.
“Abang mangsa kemudian bertindak menaiki kereta dan mengejar teman lelaki adiknya sehingga Plaza Tol Gopeng di Lebuh Raya Utara-Selatan,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kemalangan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 308 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara semalam berpunca ekoran insiden sebuah kereta mengejar kenderaan pelbagai guna (MPV).
Difahamkan, insiden itu berpunca berikutan perselisihan faham berkaitan isu kekeluargaan membabitkan seorang lelaki memandu Honda City mengejar adiknya yang dikatakan mengikut teman lelaki menaiki Proton Ertiga.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kemalangan itu pada pukul 10.46 pagi. – KOSMO! ONLINE