PUTRAJAYA – Kerajaan mengarahkan kementerian berkaitan supaya mendapatkan data penuh mengenai syarikat, kilang dan pekerja yang terjejas dengan penutupan saluran gas susulan letupan di Putra Heights baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dua kementerian masing-masing Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah diarahkan mengumpul data berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, tumpuan utama insiden itu mengenalpasti punca kejadian, namun isu bekalan gas terputus dihadapi sejumlah syarikat dan kilang yang terkesan turut diteliti kerajaan.
“Pada petang ini juga, Suruhanjaya Tenaga (ST) akan bertemu dengan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) bagi membincangkan mengenai isu bekalan gas ini.
“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah minta MITI dan Kesuma untuk mendapatkan senarai penuh semua kilang dan syarikat yang terkesan akibat penutupan saluran gas itu,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Katanya, MITI dan Kesuma akan berurusan terus dengan syarikat dan kilang terjejas sebelum meneliti sebarang langkah susulan.
Fahmi berkata, kerajaan akan memperbaiki saluran tersebut dan mengembalikan bekalan gas bagi syarikat-syarikat itu menjadi satu keutamaan. – KOSMO! ONLINE