PUTRAJAYA – Perasmian Makmal Forensik Digital dilihat menjadi aset terbaharu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam memperkukuh keupayaan siasatan dan penguatkuasaan undang-undang negara.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, fasiliti itu memainkan peranan penting dalam menganalisis bukti digital termasuk komputer, telefon bimbit dan peranti penyimpanan digital lain bagi menyokong tindakan penguatkuasaan kastam.
“Makmal Forensik Digital merupakan satu langkah strategik bagi kastam untuk menyesuaikan diri dengan cabaran globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat.
“Seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, kastam berhadapan dengan pelbagai bentuk jenayah yang semakin canggih.
“Aktiviti jenayah ini bukan sahaja melibatkan penyeludupan barang terlarang, tetapi juga pengelakan cukai dan pemalsuan dokumen import yang amat merugikan negara,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.
Jelas beliau, Makmal Forensik Digital memainkan peranan penting dalam menjalankan pemeriksaan, menganalisis dan mengeluarkan laporan pemeriksaan forensik digital bagi ekshibit seperti peranti digital, komputer dan telefon pintar yang telah disita semasa operasi.
“Makmal ini juga dilengkapi dengan teknologi terkini untuk mengesan dan memulihkan bukti digital seterusnya membantu proses penyiasatan dan pendakwaan dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, Makmal Forensik Digital JKDM memproses 448 barang bukti digital termasuk cakera keras (hard disk dan external hard disk), pemacu pena (pen drive), telefon bimbit dan televisyen litar tertutup (CCTV).
“Daripada jumlah itu, 54.8 peratus adalah kes yang disiasat di bawah Akta Kastam 1967, manakala 37.8 peratus kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sebanyak 7.4 peratus pula adalah kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
Secara keseluruhannya JKDM berjaya menumpaskan 7,215 kes penyeludupan dengan nilai rampasan dan cukai berjumlah RM1.64 bilion sepanjang tahun lepas. – KOSMO! ONLINE