KUALA LUMPUR – Individu berpelajaran antara majikan yang didapati liat mendaftar serta menjelaskan caruman pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mereka ini merupakan golongan majikan yang tamak serta tidak bertanggungjawab.
“Mereka adalah majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab, majikan-majikan yang hanya mementingkan diri sendiri, yang hanya melihat pelbagai keuntungan, tetapi kebajikan pekerja diabaikan.
“Baru-baru ini ada satu aduan yang tampil, yang dipanjangkan kepada saya, majikan yang dimiliki oleh mereka yang terpelajar, mereka yang faham akan kepentingan dan kebajikan pekerja, tetapi sebabkan tamaknya untuk mendapat keuntungan yang lebih, caruman sedikit ini pun tidak dilakukan,” katanya pada sidang akhbar Bulan Pemutihan Perkeso 2025 di sini, hari ini.
Katanya, antara alasan popular yang sering diberikan oleh golongan majikan adalah kurang arif serta mahu menjimatkan kos operasi. – KOSMO! ONLINE