HANOI – Seorang wanita di wilayah Daklak, Vietnam mengalami pendarahan hidung yang berlarutan selama beberapa hari selepas pulang dari memancing, lapor laman berita MS News semalam.
Menurut laman berita 8world, wanita itu pergi ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum doktor menemui objek asing bergerak-gerak di dalam hidungnya.
Lintah hidup sepanjang 6 sentimeter kemudian dikeluarkan dari lubang hidungnya dalam satu pembedahan.
“Lintah itu membesar sehingga lebih 6 sentimeter panjang kerana ia berada dalam persekitaran yang baik.
“Pesakit mengalami jangkitan nasal dan mukosa hidung membengkak serta berulser dengan teruk,” kata doktor tersebut.
Wanita itu kemudian mendedahkan bahawa dia pergi memancing di sebatang sungai. Lintah itu mungkin masuk ke dalam hidung tanpa pengetahuannya. – AGENSI