PASIR MAS – Seorang pembantu jualan dipenjara lima tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan meminta video lucah kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun bulan lalu.
Tertuduh, Depison Ahlan, 25, yang merupakan warga Indonesia dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Lelaki itu didakwa meminta video pornografi milik mangsa di sebuah rumah di Tanah Merah dekat sini pada pukul 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha memohon hukuman yang setimpal dikenakan ke atas tertuduh supaya dapat memberi pengajaran selain mengambil kira faktor mangsa yang masih muda.
“Hukuman itu sebagai peringatan dan amaran keras agar tidak meminta video lucah daripada kanak-kanak,” kata Siti Aiysha.
Depison dalam rayuannya berkata, dia hanya memiliki dua buah video mangsa dan masuk ke negara ini untuk bekerja di Ipoh, Perak. Mahkamah menetapkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Mac lalu serta tiga sebatan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa mengenali tertuduh melalui permainan video online sebelum bertukar nombor telefon. Tertuduh meminta mangsa menghantar video dalam keadaan tidak berpakaian dengan melakukan aksi lucah sekiranya tidak mahu nombor telefon itu tersebar. – KOSMO! ONLINE