JAKARTA – Seorang lelaki maut selepas dibaham seekor buaya gergasi ketika mencari kerang bersama rakan-rakannya di sebatang sungai di Konawe Selatan, wilayah Sulawesi Tenggara, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) di Sungai Roraya, Ahad lalu.
Mangsa dikenali sebagai Sarangadi, 49, diserang ketika mencari kerang sebelum badannya diseret ke dalam air.
Menurut keterangan rakan mangsa bernama Asdar, dia ternampak ‘pusaran air’ di tengah sungai sebelum serangan berlaku.
“Reptilia itu melompat keluar dari air lalu menyerang Sarangadi.
“Mangsa merupakan seorang petani dan mengutip kerang bukan rutin hariannya. Dia pasti masih hidup jika kami tidak mengajaknya,” tambah Asdar.
Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Kendari mengesahkan bahawa mayat Sarangadi ditemui terapung berhampiran muara sungai pada keesokan hari.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi sungai berkenaan bagi mengelak serangan lain daripada berlaku. – AGENSI