JELEBU – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menerima sesiapa sahaja ingin bertanding jawatan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini, yang mana parti itu sememangnya mengamalkan dasar demokrasi.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan berkata, tiada masalah jika ramai calon yang bertanding merebut jawatan yang ditawarkan.
“Tiada masalah sebenarnya, lagi ramai lagi elok, mereka menawarkan diri bertanding, parti terima sahaja dan itu adalah perkara biasa.
“Peringkat cabang nampaknya ada yang dua (pertandingan dua penjuru), ada yang tiga dan ada yang lima. Seperti cabang PKR Jempol satu-satunya cabang yang menyaksikan pertandingan lima penjuru dalam merebut jawatan ketua cabang manakala di cabang Tampin dan Rasah berlaku pertandingan tiga penjuru.
“Manakala, cabang Port Dickson, Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau pula menyaksikan pertandingan dua penjuru,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata proses pengundian dalam pemilihan diadakan secara dalam talian kepada semua ahli bermula 8 pagi sehingga 5 petang. – KOSMO! ONLINE