PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan peruntukan bantuan bencana berjumlah RM14.7 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, peruntukan itu antaranya bertujuan bagi pemberian RM1,000 untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana termasuk insiden di Putra Heights, Puchong.
Katanya, peruntukan RM10,000 jug diberikan bagi Bantuan Wang Ihsan Kematian kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.
“Justeru, bantuan ini turut disediakan bagi membantu KIR mangsa bencana yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights.
“Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan mengagihkan bantuan berdasarkan senarai nama KIR mangsa bencana yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, setiap rumah terkesan akibat bencana turut menerima bantuan tunai berjumlah RM10,000 yang disalurkan kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya.
“(Jumlah itu) ialah RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5,000 daripada pihak Petronas.
“Manakala pemilik yang rumahnya separa musnah menerima sumbangan sebanyak RM5,000 iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada pihak Petronas,” katanya.
Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor turut bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga terkesan.
Menurutnya, ia bagi membolehkan mereka menyewa rumah sementara rumah sedang diperbaiki ataupun dibina semula.
“Peruntukan itu mencerminkan tanda keprihatinan Kerajaan Madani kepada mangsa-mangsa bencana di Putra Heights,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE