SHAH ALAM – “Saya baru kali pertama hisap ganja ketika hari raya kedua Aidilfitri lalu.”
Itu alasan seorang lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning di sini, malam tadi.
Menurutnya yang berusia lingkungan 30-an, dia menghisap ganja itu ketika melepak dengan rakannya di kampung, minggu lalu.
“Kawan bagi rasa dan saya tidak tahu apakah benda itu. Bila sudah rasa, kawan beritahu itu ganja dan saya terkejut,” dakwanya.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 9 malam kerana dalam keadaan mencurigakan dan mendakwa baru pulang bekerja.
Dia kemudian diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan saringan air kencing didapati positif dadah. Difahamkan, lelaki itu antara antara empat individu yang ditahan atas kesalahan dadah sepanjang operasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi bermula pukul 8 malam berkenaan dijalankan dengan kerjasama AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lebuhraya Shah Alam (Lekas). – KOSMO! ONLINE