PETALING JAYA – Tindakan pelakon Datin Intan Najuwa yang menggunakan khidmat pengasuh dan jururawat peribadi untuk menjaga anaknya, Imane Lunara mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen kerana bimbang menjejaskan hubungan dengan ibunya pada masa akan datang.
Tidak berdiam diri, Intan, 28, berkata, Imane merupakan bayi yang bijak dan tahu membezakan sama ada dia dijaga ibunya atau pengasuh.
“Alhamdulillah anak saya bijak, dia tahu mana satu mak dia,” kata Intan membalas komen netizen.
Tambahnya, dia juga tidak pernah berenggang dengan anaknya dan tetap memberikan kasih sayang sebagai seorang ibu walaupun mempunyai ramai pembantu.
“Saya bersama Imane hampir 24 jam sebab korbankan karier dan tak bekerja untuk duduk di rumah serta beri kasih sayang sepenuhnya untuk dia.
“Kalau kami tak rapat juga, saya masukkan dia dalam perut balik,” ujarnya.
Intan memberikan respons sedemikian selepas wujud segelintir netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap kehadiran pembantu serta jururawat.
“Mesti bayi itu keliru mana satu mak dia,” komen netizen.
Terdahulu, Intan memuat naik sebuah video dirinya bersama tiga orang pembantunya serta seorang jururawat yang menjaga anak kesayangannya ketika berada di sebuah hotel.
Terdahulu, Intan bergelar isteri kepada Datuk Ahmad Asraf Azman pada Ogos 2023 dan dikurniakan anak perempuan, Imane pada 15 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE