SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima 6,687 aduan orang awam berkaitan kesalahan pengguna jalan raya menerusi aplikasi MyJPJ sepanjang Ops Khas Hari Raya Aidifitri (HRA) 2025 di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, aduan itu meliputi tiga kesalahan utama iaitu memotong barisan dengan 1,766 kes memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat (843) yang diperoleh sepanjang operasi yang dilaksanakan bermula 24 Mac lalu sehingga semalam.
Jelas beliau, kesalahan itu dikesan pengguna jalan raya yang merakam gambar atau video sebelum memuat naik ke MyJPJ.
“Menerusi 6,687 aduan itu, kesemua pesalah lalu lintas berkenaan telah dikenal pasti termasuk yang bakal dikenakan tindakan.
“Kita mengeluarkan notis temu siasat kepada mereka supaya hadir ke pejabat JPJ sebelum kompaun kesalahan dikeluarkan,” katanya selepas meninjau penutupan operasi itu di Plaza Tol Kemuning di sini, malam tadi.
Menurut Aedy, jumlah aduan MyJPJ itu amat tinggi berbanding kurang daripada 1,000 yang diterima pada bulan biasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ
mengeluarkan 61,317 notis pelbagai kesalahan ke atas kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE