PETALING JAYA – Isu buli di sekolah dan asrama bukan lagi perkara baharu, malah semakin membimbangkan masyarakat.
Namun, dalam mencari punca sebenar berlakunya gejala ini, banyak pihak dilihat hanya menuding jari kepada pelajar atau guru semata-mata.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan bahawa ibu bapa dan masalah yang berlaku di rumah juga menjadi antara faktor utama menyumbang kepada berleluasanya perilaku buli dalam kalangan pelajar.
“Jangan hanya salahkan pelajar atau guru, ibu bapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli hingga terbawa-bawa ke asrama dan sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan kejadian buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air selepas tular satu video berdurasi 1 minit 31 saat di Facebook memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak dan duduk di atas seorang pelajar lelaki.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi memaklumkan seramai tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden buli berkenaan disyorkan untuk ditamatkan pengajian dari MRSM itu.
Jelasnya, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah memutuskan keputusan tersebut dalam satu mesyuarat dan mendapati seramai tujuh pelajar institusi pendidikan terbabit terlibat dalam insiden buli terhadap seorang pelajar.
“Daripada jumlah itu, siasatan mendapati dua pelajar terlibat secara langsung membuli, manakala lima rakan mereka pula bersubahat dalam kejadian tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE