KANGAR – Seorang wanita direman selepas disyaki menggigit dan mencucuk anak kandungnya menggunakan gunting sehingga mengakibatkan kecederaan dalam kejadian, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kejadian itu terbongkar apabila guru besar sekolah menyedari kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu kerap hadir lewat ke sekolah.
“Guru besar sebuah sekolah rendah di Jitra, Kedah itu pada mulanya mengesyaki sesuatu yang tidak kena sebelum membuat laporan polis pada kelmarin.
“Mangsa yang merupakan murid tahun lima didakwa menjadi mangsa penderaan oleh ibu kandungnya sendiri yang berusia 33 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, laporan pemeriksaan perubatan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini mendapati terdapat kesan luka pada belakang badan, leher, kaki dan tangan mangsa yang dipercayai akibat digigit selain dicucuk menggunakan gunting.
Susulan itu, katanya, polis melancarkan Ops Jejak bagi mengesan suspek dan kira-kira pukul 1.30 pagi semalam, wanita itu berjaya ditahan berhampiran jejambat Titi Kerbau, Lebuhraya Changlun–Kuala Perlis, dekat sini.
“Turut dirampas sebilah gunting berhulu kuning sepanjang 12 sentimeter, seunit telefon pintar jenis iPhone 12 berwarna merah serta sekeping kad sim jenama Tune Talk yang dipercayai digunakan suspek. Mahkamah Majistret Kangar telah membenarkan reman selama empat hari terhadap suspek bermula semalam hingga 11 April ini bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE