PETALING JAYA – Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit bagi petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa mulai 10 April hingga 16 April 2025, sejajar dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga runcit RON97 akan diturunkan sebanyak 5 sen kepada RM3.28 seliter, manakala bagi diesel di Semenanjung Malaysia turut dikurangkan sebanyak 5 sen kepada RM2.98 seliter.
Namun begitu, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter, manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah iaitu RM2.15 seliter.
Kata kenyataan itu, penetapan harga ini adalah berdasarkan mekanisme penetapan harga automatik mingguan (Automatic Pricing Mechanism).
“Kerajaan akan terus mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE