PETALING JAYA – Isteri kepada pelakon Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz mencetuskan tanda tanya ramai apabila memuat naik video melangkah keluar dari Mahkamah Syariah Hulu Langat.
Tidak menyatakan secara terperinci, Nur Nilam memuat naik kapsyen yang memberi bayangan rumah tangganya dengan Azlan bakal berakhir.
“Aku memilih pergi sebab aku ingin menjaga hati.
“Kita akan menjadi orang asing kembali di mana hati aku adalah tugas aku untuk menjaganya dan hati kau tugas kau untuk menjaganya.
“Selepas ini tiada lagi takdir kita yang bersama ‘kita’,” katanya.
Dalam video tersebut, dia dilihat mengenakan jubah dan tudung serba hitam berjalan bersendirian di pekarangan mahkamah.
Menerusi ruangan komen, majoriti netizen mendoakan yang terbaik buatnya selain kecewa sekiranya pasangan berkenaan akan bercerai.
“Kenapalah suami tak hargai pengorbanan isteri yang banyak menjaga ketika sakit sebelum ini.
“Semoga terus kuat Nilam, jangan patah semangat.
“Harap ini bukan konten semata-mata, tabahlah Nilam,” titip netizen.
Terdahulu, Nur Nilam pada Mac lalu mendedahkan Azlan bakal berkahwin buat kali kedua tidak lama lagi dengan wanita didakwa yang dilabel sebagai ‘skandal’ lama pelakon terbabit.
Perkara itu didedahkan Nur Nilam menerusi video yang dimuat naik dalam TikTok selepas Azlan memintanya meminang bakal madunya itu.
Azlan dan Nur Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022. – KOSMO! ONLINE