PETALING JAYA – Bermaz Motor melancarkan kereta sport ikonik Jepun Mazda MX-5 Edisi Ulang Tahun ke-35 dan Mazda MX-5 versi facelift 2025 untuk pasaran Malaysia.
Pengarah Pemasaran Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Lee Ai Hoon berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 1989, model Mazda MX-5 terus mengekalkan semangat Jinba-Ittai bagi semua empat generasi modelnya iaitu dari NA, NB, NC dan ND yang ada di pasaran.
“Mazda MX-5 Edisi Ulang Tahun Ke-35 ini sangat ekslusif dalam jumlah terhad iaitu empat unit sahaja untuk pasaran Malaysia.
“Model ini telah dibuka untuk tempahan pada harga jualan RM315,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans),” katanya pada Majlis Pelancaran Mazda MX-5 edisi khas Ulang Tahun ke-35 dan MX-5 facelift 2025 di sini hari ini.
MX-5 Edisi Ulang Tahun ke-35 yang dilancarkan adalah varian 2.0 liter Skyactiv-G dengan transmisi automatik 6-kelajuan.
Roadster dua pintu itu dengan sistem pacuan dua roda (2WD) mampu menjana kuasa 181hp dan tork 205Nm.
Menariknya, bahagian luar kereta ikonik itu dilengkapi dengan edisi lencana ulang tahun ke-35 tahun pada fender belakang dan diperkemaskan dengan rim aloi bersaiz 17 inci warna Bright Metallic.
MX-5 edisi khas itu hadir dengan warna ekslusif Artisan Red Premium yang dihasilkan menggunakan teknologi cat Takuminuri menyerlahkan garis badan MX-5.
Ruangan kabin tampil dengan kemasan warna coklat lembut nampak ekslusif dan minimalis dengan perehat kepala dan karpet tertera lencana 35th Anniversary Edition.
Bagi versi MX-5 facelift dua varian dilancarkan iaitu Mazda MX-5 2.0 liter M/T pada harga RM293,000 dan MX-5 2.0 liter A/T RM295,000.
Semua varian Mazda MX-5 sekarang iaitu 2.0 MT, 2.0 AT dan 35th Anniversary Edition menerima kluster meter rekaan baharu dengan warna dial yang lebih gelap.
Ia juga didatangkan dengan cermin pandang belakang anti-silau, skrin infotainmen bersaiz 8.8 inci bersama ciri pengecaman suara, peranti pengecas USB type C dan kamera undur berdefinisi tinggi.
Daripada aspek keselamatan pula, MX-5 kini dipasang dengan ciri i-Activsense tambahan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). -KOSMO! ONLINE