LONDON – Lewis Hamilton mendakwa jentera Ferrari dipandunya ketika ini mengalami ‘defisit’ cukup ketara berbanding rakan sepasukannya, Charles Leclerc.
Hamilton, 40, yang baru menyertai Ferrari musim ini, masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh Grand Prix (GP) Jepun pada Ahad lalu.
Lebih mengecewakan, Leclerc yang memandu jentera serupa berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, jauh meninggalkan Hamilton selain menewaskan dua jentera Mercedes.
Hamilton mendedahkan terdapat masalah pada jenteranya yang menyebabkan dia berdepan kesukaran dalam tiga perlumbaan pertama musim ini.
“Ada sesuatu yang tidak berfungsi dengan baik pada kereta saya. Kami temui puncanya dan saya harap ia dapat diperbaiki menjelang perlumbaan seterusnya di Bahrain.
“Saya hilang lebih satu per sepuluh saat setiap pusingan kerana isu ini. Dengan keadaan itu, ia adalah keputusan terbaik (tempat ketujuh) yang mampu saya lakukan,” kata juara dunia tujuh kali itu.
“Saya benar-benar berharap apabila masalah itu dapat diperbaiki pada perlumbaan seterusnya nanti, kami akan melihat beberapa perubahan positif,” katanya.
Ketua Pasukan Ferrari, Fred Vasseur menganggap perbezaan prestasi antara Hamilton dan Leclerc di Jepun mungkin berpunca daripada pilihan pelarasan berbeza.
“Kami masih dalam proses memahami sepenuhnya jentera baharu ini dan membenarkan pemandu mencuba pelbagai pelarasan bagi menyesuaikan diri dengan gaya pemanduan masing-masing.
“Saya percaya perlumbaan di Bahrain nanti akan memaparkan situasi berbeza kerana kami lebih bersedia selepas menjalani ujian pramusim di sana,” kata Vasseur. – AGENSI