SABAK BERNAM – Penduduk Rancangan Tanah Belia 2, Sungai Panjang di sini gempar dengan penemuan dua ekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kebun kelmarin.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya menerima aduan menerusi satu video tular di media sosial semalam.
Katanya, anggota Perhilitan Sabak Bernam ditugasjan ke lokasi kejadian iaitu di kawasan kebun berdekatan rumah penduduk bagi menjalankan siasatan.
“Siasatan mendapati video itu dirakam kelmarin dan kitasyaki terdapat dua ekor beruang matahari di kebun tersebut. Hasil temu bual dengan penduduk, ia merupakan kejadian pertama di lokasi tersebut,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurut Wan Mohd. Adib, pihaknya menjalankan pemantauan dan akan meneruskan rondaan berkala di lokasi tersebut.
“Kita mahu memastikan keselamatan penduduk dan mengenal pasti jika haiwan itu masih berada di lokasi. Orang awam dinasihatkan supaya tidak mendekati atau menghalau hidupan liar bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE