REMBAU – Penduduk di Kampung Batu, di sini memohon tindakan tegas diambil ke atas individu tidak bertanggungjawab yang masih membuang sampah secara haram di tepi jalan utama perkampungan berkenaan.
Seorang anak jati kampung, Azlee Ismail, 55, berkata, dia yang pulang ke kampung tersebut terkejut melihat timbunan sampah masih terdapat di tepi jalan itu yang kini menjadi laluan utama untuk orang ramai terutamanya perantau pulang ke Pantai Timur atau sebaliknya.
“Malu, sudah ada kain rentang amaran pun mereka tidak takut. Eloknya mereka ini ditangkap dan dikenakan kompaun bagi memberi kesedaran.
“Kalau saya sebagai setiausaha kampung di Selangor pernah kami ambil tindakan selongkar sampah dan pulang kan balik ikut alamat tertera di sampah.
“Cara lain kami buat ialah mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi untuk mengangkut sampah di rumah penduduk tiga kali dalam seminggu dengan bayaran tertentu bagi mengelakkan wujudnya lokasi sampah haram,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu, di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi orang awam, C. C. Loh, 73, berkata, dia melalui laluan itu sebulan sekali dari rumahnya di Durian Tunggal, Melaka bagi menadah air di Bukit Miku, dekat sini.
Menurutnya, ada kalanya dia turut membuang sampah di lokasi tersebut kerana sebelum ini terdapat tong sampah besar diletakkan di situ.
“Hari ini saya berhenti di sini sebab terkejut ada tali kuning dan kain rentang amaran.
“Saya fikir bagus juga lokasi ini tidak lagi jadi tempat buang sampah kerana lebih penting lokasi kerap dilalui ini lebih bersih,” katanya.
Sementara itu, tinjauan ke lokasi mendapati masih ramai lagi berhenti mahu membuang sampah, namun beberapa penduduk yang berada di lokasi itu menasihatkan individu tersebut untuk membuang sampah di tempat sepatutnya.
Selain itu, setakat semalam kemudahan Pusat kitar Semula Pandu Lalu bagi pengasingan sampah penduduk masih belum beroperasi. -KOSMO! ONLINE