PETALING JAYA – CUCKOO International (MAL) Bhd. (CUCKOO Malaysia), syarikat pengeluar peralatan dari Korea Selatan memaklumkan bahawa akan menjadualkan semula tarikh bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Menerusi satu kenyataan CUCKOO Malaysia berkata, langkah tersebut diambil berikutan ketidakstabilan pasaran global semasa.
Jelasnya, penyenaraian CUCKOO Malaysia yang pada asalnya dijadualkan pada 30 April ini, namun dijangka selesai pada 24 Jun depan.
Keputusan itu diambil dengan penuh teliti hasil penilaian menyeluruh oleh pihak pengurusan CUCKOO Malaysia, dalam usaha memastikan kejayaan dan kemampanan kemasukannya ke dalam pasaran awam.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, keputusan itu adalah wajar ekoran cabaran yang sedang dialami oleh pasaran dalam masa terdekat.
Katanya, syarikat itu kekal yakin dengan prospek jangka panjang dan terus komited untuk mengekalkan momentum dalam semua segmen perniagaan.
“Susulan perubahan jadual ini, CUCKOO Malaysia akan mengeluarkan prospektus tambahan dan membuka tempoh penarikan balik permohonan langganan pelabur (“penarikan balik”) bagi para pelabur yang telah membuat permohonan IPO tetapi berhasrat untuk menarik balik permohonan mereka.
“Prospektus tambahan dan butiran lanjut mengenai proses penarikan balik itu, termasuk tempoh dan kaedahnya akan diumumkan dalam masa terdekat melalui laman sesawang Bursa Malaysia di https://www.bursamalaysia.com/ dan laman
sesawang CUCKOO Malaysia di www.CUCKOO.com.my/Investor-Relations,”katanya.
Kian Choon berkata, permohonan untuk tawaran IPO masih dibuka dan kini akan ditutup pada 5 Jun depan dengan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa
Malaysia dijadualkan pada 24 Jun.
“Di sebalik langkah penjadualan semula ini, CUCKOO Malaysia tetap berpegang teguh kepada misinya untuk mencipta kediaman yang lebih sihat untuk semua, serta memupuk gaya hidup lebih sihat untuk pelanggannya sebagai Pencipta Kediaman Sihat.
“Syarikat juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang taruh atas keyakinan dan sokongan berterusan ketika ia mengambil langkah terbaik memastikan kejayaan penyenaraian tersebut yang bakal mendorong cadangan nilai dan
pertumbuhannya dalam jangka panjang,”katanya.-KOSMO! ONLINE