SINARAN bintang Mierul Aiman kini semakin bercahaya. Bermula dari layar televisyen sehinggalah pentas negara seberang, wajah jejaka berjiwa besar itu kian menjadi siulan khalayak pencinta seni.
Bukan sekadar pelakon biasa, anak muda berusia 27 tahun tu membawa bersama aura tersendiri, gagah pada lakonan, manis pada pekerti.
Tidak hairanlah andai namanya kini melangkaui sempadan, menawan hati peminat di Singapura pula.
“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima daripada pelbagai pihak di Singapura.
“Pengalaman yang sangat seronok dan menarik.
“Saya anggap ini bukan sekadar peluang, tapi satu ruang besar untuk saya berkembang sebagai anak seni,” katanya kepada HibGlam.
Bagi pemilik nama sebenar Mohammad Amirul Aiman Norazman, pelawaan menjejak kaki ke negara jiran itu bukan sesuatu yang dikejar, sebaliknya hadiah Tuhan atas kesungguhan dan kesabaran menempuh jalan seni yang tidak pernah mudah.
Dia kini terus memacu laju, membina kredibiliti sebagai aktor pelbagai dimensi.
Berbicara tentang misi seninya ke luar negara, pelakon dengan rahang jantan itu menganggap Singapura sebagai satu permulaan yang baik.
“Saya merasakan Singapura tempat sesuai untuk mengembangkan bakat dalam dunia seni.
“Insya-Allah, doakan ya. Moga ada lebih banyak peluang buat saya, bukan sahaja di Singapura tetapi juga di negara jiran lain.
“Saya harap pengalaman ini membantu mencorakkan karier seni saya menjadi lebih matang,” ujarnya yang teruja berlakon bawah arahan M. Raihan Halim menerusi sebuah drama bersiri di negara Seberang Tambak itu.
Biarpun menembusi populariti, pelakon yang mencipta fenomena menerusi Projek: High Council itu tidak pernah lupa menyusur akar, menyelami denyut nadi masyarakat dalam naskhah berjudul Pasar Malam.
Menggalas watak Salihin, seorang pemuda yang mencari sesuap rezeki dalam hiruk-pikuk pasar malam, Mierul mengakui peranannya kali ini begitu dekat dengan jiwa.
“Cerita ini berdasarkan realiti kehidupan. Saya banyak belajar dan memahami jerih perih peniaga kecil, terutama yang berniaga di pasar malam.
“Bukan sekadar berlakon, saya sendiri tersentuh melihat bagaimana mereka tabah mencari rezeki walau dalam serba kekurangan,” dedahnya.
Malah watak yang dibawanya itu bukan sekadar lakonan, tetapi satu penghargaan buat insan marhaen yang sering dilupakan dalam naskhah-naskhah arus perdana.
Mengulas tentang keupayaannya menjayakan pelbagai jenis watak, termasuk romantik, aksi dan dramatik, Mierul bersikap terbuka dan sentiasa bersedia memberi yang terbaik.
“Jika watak dibawakan memberi impak, bermakna saya berjaya merealisasikan tanggungjawab yang diberikan oleh penulis skrip serta pengarah.
“Tidak kiralah drama cinta, aksi atau kisah masyarakat, itu semuanya medan untuk saya menajamkan bakat,” tutupnya.