fbpx

CCTV rakam ‘nampak mangsa dalam longkang’, ‘saksi berlari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Zayn Rayyan.

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berkaitan Zayn Rayyan Abdul Matin pada hari kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang 5 Disember 2023.

Juruanalisis Kanan Unit Siasatan Audio Video, Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz berkata, dua rakaman CCTV ‘Nampak Mangsa Dalam Longkang’ dan ‘Saksi Berlari’ itu direkodkan pada pukul 12.08 hingga 12.13 tengah hari, 5 Disember 2023.

“Proses analisis dijalankan ke atas dua fail rakaman sebagaimana dipohon pegawai penyiasat. Hasil analisis dan pemeriksaan mengenal pasti imej-imej sebagaimana dipohon.

“Imej-imej tersebut di‘capture’ kemudian dibesarkan dan dijalankan proses ‘enhancement’ bagi tujuan menjelaskan kualiti imej.

“Hasil analisis yang saya jalankan menunjukkan imej-imej yang dikeluarkan kurang jelas, terdapat beberapa objek lain yang menghalang imej individu dalam paparan video yang menyebabkan imej kelihatan kabur dan kurang jelas,” kata saksi pendakwaan ke-26 itu.

Saksi itu turut menyatakan selain dua rakaman tersebut, rakaman CCTV itu ialah ‘Penampakan’ pada tarikh sama.

“Paparan ‘Penampakan’ adalah imej individu berbaju putih berjalan dalam terowong dan jalan balik dalam terowong dan juga individu berbaju hitam berlari.

“Bagaimanapun, hasil analisis yang saya jalankan menunjukkan imej-imej yang dikeluarkan adalah kurang jelas.

“Terdapat beberapa objek lain seperti pagar dan pokok yang menghalang imej individu dalam paparan video serta jarak kamera CCTV dengan subjek yang difokuskan adalah jauh,” kata saksi itu.

Semasa prosiding, sebanyak 10 rakaman CCTV ditayangkan kepada mahkamah. Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung pada 21 April ini.

Pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Mengikut pertuduhan pilihan, pasangan berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan dilakukan di sekitar Blok R sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI