SKUAD ragbi kebangsaan, Bunga Raya 15s bakal tampil dengan kekuatan baharu apabila diperkuatkan dua pemain naturalisasi dari Fiji menentang Sri Lanka dalam perlawanan playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier 2025 di Colombo pada 19 April ini.
Kehadiran dua pemain berpengalaman, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru bakal menjadi senjata rahsia buat skuad kendalian Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor bagi memastikan Malaysia kekal bersaing di pentas tertinggi kejohanan 15s Asia.
Difahamkan, kedua-dua pemain itu telah melengkapkan dokumentasi serta proses naturalisasi bagi mewakili Malaysia secara rasmi selepas melalui penilaian ketat oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).
Saizul mengakui kehadiran dua pemain dari Fiji itu bakal menambah kekuatan skuad negara terutama dari segi fizikal, pengalaman serta kreativiti di posisi serangan dan pertahanan.
“Kita tahu kekuatan pasukan seperti Sri Lanka banyak bergantung kepada kelebihan fizikal dan kepantasan. Kehadiran Tamanisau dan Saukuru sangat penting untuk memperkukuh barisan serangan dan ‘backline’ yang sebelum ini menjadi kelemahan kita,” katanya.
Sri Lanka yang tampil selaku juara Divisyen Satu sudah pasti mahu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Race Course Ground untuk menundukkan Malaysia.
Bagaimanapun, Saizul percaya anak buahnya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi tekanan serta cabaran getir dalam aksi playoff nanti.
“Kami berterima kasih kepada KRM atas usaha mendapatkan pemain. Skuad negara berdepan cabaran dari segi persiapan tetapi kita tetap jalankan latihan dan cuba memperbaiki kelemahan yang ada sebaik yang boleh.
“Setakat ini, kita masih ada lagi perlawanan ujian bagi memastikan pemain berada dalam kondisi yang bersedia untuk bermain menentang Sri Lanka.
“Kalau dilihat pada Sri Lanka sekarang, mereka berada dalam keadaan yang cukup bersedia kerana baru sahaja habis liga kelab minggu lepas dan disambung latihan skuad kebangsaan. Ini menjadikan kelebihan pada mereka.
“Membuat yang terbaik untuk negara adalah fokus utama. Walaupun kekurangan dari segi persiapan, kita akan cuba yang terbaik. Kita akan beri saingan sukar pada Sri Lanka. Doakan yang terbaik untuk pasukan negara,” katanya.
Tumpuan kini terarah kepada pertemuan epik Bunga Raya 15s menentang Sri Lanka yang bakal menentukan status Malaysia sama ada kekal atau tersingkir daripada Divisyen Premier.