WASHINGTON – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan di dalam parit sebuah kawasan hutan di negeri Michigan dalam keadaan hanya memakai lampin ketika cuaca sejuk, lapor akhbar New York Post semalam.
Berdasarkan satu rakaman video, kanak-kanak itu dikesan dengan bantuan helikopter polis yang dilengkapi kamera pencari haba.
Helikopter Polis Negeri Michigan mengesan budak lelaki itu dari udara sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan), kira-kira tiga jam selepas dia hilang.
Kanak-kanak itu ditemukan terbaring mengerekot pada suhu berlegar-legar di atas tahap beku.
“Kami dapat (jumpa kanak-kanak itu),” salah kata seorang anggota penyelamat.
Beberapa pegawai kelihatan menenangkan kanak-kanak tersebut ketika mereka menunggu ambulans tiba.
Ibu dan bapa kanak-kanak itu melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa selepas kali terakhir dia dilihat menonton televisyen di ruang tamu rumah keluarganya di Perbandaran Blackman sekitar pukul 8.45 malam (waktu tempatan). – AGENSI