fbpx

‘Bos’ sektor penginapan, F&B dan pengeluaran antara liat carum Perkeso 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman (tengah) ketika sidang akhbar sempena Bulan Pemutihan Perkeso 2025 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan tiga sektor utama yang mencatatkan kadar ketidakpatuhan tertinggi dalam kalangan majikan berkaitan pendaftaran dan caruman keselamatan sosial pekerja.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sektor penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman mencatatkan jumlah kes kompaun dan pendakwaan tertinggi, iaitu sebanyak 880 kes sejak tahun lalu.

“Sektor aktiviti perkhidmatan lain seperti penyelenggaraan kenderaan dan salun kecantikan pula merekodkan 658 kes, manakala sektor pengeluaran mencatatkan 590 kes,” katanya pada sidang akhbar Bulan Pemutihan Perkeso 2025 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua majikan terutamanya dalam tiga sektor terbabit agar mengambil peluang sempena Bulan Pemutihan Perkeso yang berlangsung dari 1 hingga 30 April ini untuk mendaftar pekerja dan menjelaskan caruman tertunggak.

Menurut beliau, majikan yang tampil secara sukarela sepanjang tempoh ini akan dikecualikan daripada tindakan kompaun, pendakwaan serta Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

“Kesempatan satu bulan ini dikira peluang terakhir untuk majikan mendaftar pekerja masing-masing dan jelaskan caruman tertunggak sebelum Perkeso menjalankan penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi di seluruh negara.

“Jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Azman memaklumkan peningkatan liputan perlindungan Perkeso dalam kalangan pekerja asing aktif sebanyak 5.5 peratus, dengan 120,608 pencarum baharu direkodkan setakat Februari lalu.

“Lonjakan ini didorong oleh pelaksanaan Ops Pekerja Asing sejak hujung tahun lalu.

“Berdasarkan rekod pendaftaran semasa, pengambilan tertinggi pekerja asing berlaku di sektor pengeluaran (24 peratus), diikuti pembinaan (17 peratus) dan aktiviti perkhidmatan lain (11 peratus) daripada keseluruhan 527,698 individu,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa majikan yang gagal mendaftar dan mencarum pekerja boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000, serta tindakan pendakwaan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Sejak tahun 2019 hingga 2024, sebanyak 15,922 notis kompaun bernilai RM11.91 juta telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja.

Selain itu, 13,215 kes telah didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) atas pelbagai kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI