PETALING JAYA – Melakar kejayaan sendiri, drama bersiri Viu Malaysia, Bidaah meraih lebih 2.5 bilion tontonan menerusi platform digital dan media sosial.
Dibintangi Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana, naskhah tersebut menjadi drama paling popular bukan sahaja dalam Viu Malaysia tetapi di Indonesia selama lima minggu berturut-turut.
Kejayaan itu sekali gus mengatasi drama bersiri Korea popular seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group.
Fenomena Bidaah semakin meledak apabila watak Walid, lakonan hebat Faizal turut mencetuskan pelbagai trend parodi dalam TikTok.
Bidaah terbitan Erma Fatima yang ditayangkan sejak 6 Mac lalu mendapat pelbagai komen positif daripada peminat di media sosial sekali gus menarik minat audiens dari luar negara.
Drama tersebut mengisahkan Baiduri lakonan Riena seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud) untuk menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid.
Bersama Hambali (Fattah), Baiduri tekad untuk melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, walaupun nyawanya sendiri terancam. – KOSMO! ONLINE