WASHINGTON – Presiden Donald Trump akan mengenakan levi 104 peratus bagi semua barangan import dari China hari ini, kata Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt semalam seperti laporan saluran berita CNN.
China bersedia untuk melihat tarif meningkat sebanyak 34 peratus hari ini sebagai sebahagian daripada pakej tarif timbal balik Trump.
Namun, Trump mengenakan pertambahan 50 peratus lagi tarif selepas Beijing enggan berganjak untuk mengenakan 34 peratus tarif balas ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) menjelang tengah hari semalam.
Ia menjadikan jumlah tarif baharu yang diumumkan Trump ke atas China adalah 84 peratus.
Pada Februari lalu, Trump pada mulanya telah mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua barangan China tanpa pengecualian, dengan menyebut peranan Beijing dalam membantu pendatang haram dan kemasukan fentanyl ke AS.
Bulan lepas, Trump menggandakan kadar itu.
Semalam, Kementerian Perdagangan China berkata, ia tegas menentang tarif tambahan 50 peratus ke atas import China dan menggelarnya ‘satu kesilapan atas kesilapan’.
Kementerian itu berikrar untuk meningkatkan tindakan balas terhadap eksport AS.
Saham AS, yang melonjak pagi semalam mula bergerak lebih rendah berikutan komen Leavitt.
Pasaran saham mengakhiri sesi dagangan harian dengan mencatatkan mata lebih rendah. Indeks Dow merudum 320 mata atau 0.84 peratus, S&P 500 jatuh 1.57 peratus dan Nasdaq Composite merosot 2.15 peratus.
“Negara seperti China, yang telah memilih untuk membalas dan cuba menggandakan layanan buruk mereka terhadap pekerja Amerika, telah membuat kesilapan,” kata Leavitt kepada pemberita semalam.
“Presiden Trump mempunyai sikap tegas dan beliau tidak akan beralah,” tambahnya.
China merupakan sumber import kedua terbesar AS tahun lalu dengan menghantar sejumlah barangan bernilai AS$439 bilion (RM1.97 trilion) ke negara itu.
Amerika pula mengeksport barangan bernilai AS$144 bilion (RM648 bilion) ke China. – AGENSI