fbpx

Anggota JPJ Terengganu nyaris maut dirempuh di SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zamri (tiga dari kanan) menunjukkan motosikal Yamaha Y16 yang merempuh SJR JPJ pada sidang akhbar di pejabat JPJ Terengganu, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sempena Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) nyaris maut apabila hampir dilanggar sebuah motosikal di Jalan Sultan Mohamad berhampiran kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, penunggang motosikal Yamaha Y16 berusia 41 tahun itu cedera selepas rempuhannya tersasar mengenai papan SJR berkenaan.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, mekanik berasal dari Kampung Pulau Musang di sini terbabit bukan sahaja enggan berhenti untuk pemeriksaan, malah memecut laju motosikalnya sebaik ditahan anggota penguat kuasa di lokasi SJR.

“Motosikal dipecutnya hampir mengenai dua anggota JPJ bertugas, namun sempat dielak sebelum terkena papan penghalang SJR.

“Rempuhan itu menyebabkan motosikal Yamaha Y16 terpelanting sehingga ke pembahagi jalan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mekanik tersebut bukan sahaja tidak mempunyai lesen memandu malah motosikal dinaiki juga tiada perlindungan insurans dan luput cukai jalan.

Beliau berkata, motosikal Yamaha Y16 itu juga didapati diubah suai secara ekstrem termasuk bahagian enjin dan ekzos.

“Motosikal itu juga tiada brek belakang dan cermin selain saiz tayar tidak mengikut spesifikasi.

“Penunggang motosikal yang kini sedang dirawat di hospital akan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 78 akta sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI