PETALING JAYA – Sunway Hospitality Group mengumumkan pelantikan Alex Castaldi sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Castaldi telah menyertai Kumpulan Sunway sejak tahun 2017 dengan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar The Banjaran Hotsprings di Perak dan telah berjaya mentransformasinya menjadi sebuah vila mewah yang terkenal dan popular di negara ini.
Puncak kariernya terus meningkat dengan memegang jawatan Pengurus Besar Kanan Sunway City Kuala Lumpur Hotel yang mana premis berkenaan melalui sebuah era transformasi bernilai jutaan ringgit kepada Sunway Resort Hotel.
Ekoran perkembangan memberangsangkan daripada tiga buah hotel dengan mencatat kadar harian purata (ADR) seterusnya mencatat rekod pendapatan pada tahun 2023 telah membolehkan beliau menduduki jawatan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan pada bulan Febrruari tahun lalu.
“Melalui sokongan daripada pihak pengurusan, saya akan menerajui Sunway Hospitality untuk membentuk semula operasi di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.
“Misi tersebut adalah untuk melangkah kepada lebih jauh dengan menyelaraskan perniagaan hotel dengan beberapa tonggak utama yang lain dalam kumpulan Sunway sekali gus untuk mengembangkan kedudukan kami di pasaran global melalui gabungan pengembangan dan kerjasama organik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga akan mengawasi Sunway Travel iaitu sebuah agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan komprehensif bagi memenuhi keperluan semua peringkat pelanggan. -KOSMO! ONLINE