KOTA BHARU – Kebanyakan kes rogol, sumbang mahram dan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur yang berlaku di Kelantan dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini melibatkan kes ‘suka sama suka’.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur di negeri ini mencatatkan sebanyak 65 kes iaitu peningkatan sebanyak 17.1 peratus pada Januari hingga Mac lalu berbanding 46 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan kes-kes jenayah seksual termasuk dalam kalangan ahli keluarga dilihat sangat membimbangkan apabila ia banyak melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur seawal usia 10 tahun.
“Kes-kes yang dilaporkan sebenarnya bukan melibatkan kejadian rogol yang biasa kerana ia melibatkan hubungan ‘suka sama suka’. Siasatan mendapati, dianggarkan 98 peratus daripada kesemua kes yang dilaporkan adalah persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Apabila ia melibatkan mangsa yang berusia 16 tahun ke bawah, kes-kes tersebut diklasifikasikan sebagai rogol,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di IPK Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan turut mendapati, ada banyak kes dilaporkan melibatkan remaja perempuan yang mencari lelaki untuk tidur bersama.
Menurutnya, kes tersebut agak pelik kerana melibatkan remaja perempuan yang sanggup menjadi mangsa kepada rakan-rakan atau saudara-maranya sendiri.
“Ada kes yang dilaporkan, remaja perempuan itu mencari lelaki ‘tidur’ bersama. Kes terbaharu yang dilaporkan baru-baru ini adalah anak saudara meminta untuk ‘tidur’ bersama bapa saudaranya.
“Siasatan lanjut mendapati, remaja perempuan yang rela ditiduri itu kebiasaannya mempunyai hubungan dengan ramai lelaki. Kes-kes jenayah seksual ‘suka sama suka’ melibatkan remaja bawah umur ini kebanyakannya terbongkar apabila perempuan itu hamil,” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, pemeriksaan di dalam telefon pintar remaja perempuan yang terlibat menjumpai banyak simpanan video dan gambar-gambar berunsur lucah.
Menurutnya, selain itu, terdapat juga video lucah diri sendiri remaja perempuan berkenaan di dalam telefon yang dihantar kepada lelaki yang kebanyakannya baru mereka kenali. – KOSMO! ONLINE