SANTO DOMINGO – Sekurang-kurangnya 79 orang maut, manakala lebih 160 lagi cedera selepas bumbung sebuah kelab malam runtuh di Republik Dominika, lapor akhbar The Sun UK.
Runtuhan berlaku semasa konsert penyanyi popular, Rubby Perez, di kelab malam Jet Set, bandar Santo Domingo semalam. Perez ialah antara yang terbunuh.
Rakaman kejadian memaparkan bumbung kelab malam itu runtuh secara tiba-tiba ketika penyanyi berkenaan sedang membuat persembahan di khalayak ramai.
Pihak berkuasa bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
“Kami menganggap jumlah yang masih hidup masih ramai. Pihak berkuasa tidak akan berputus asa sehingga berjaya menyelamatkan semua mangsa.
“Lebih 56 ambulans dengan masing-masing membawa sehingga tiga pesakit, dikerahkan ke hospital berbeza,” kata Pengarah Pusat Operasi Kecemasan, Juan Manuel Méndez.
Orang ramai berkumpul di luar kelab malam sambil menunggu maklumat mengenai orang tersayang mereka.
Semua keluarga mangsa menerima sokongan, manakala punca runtuhan masih dalam siasatan. – AGENSI