fbpx

4 sahabat tidak mengaku peras ugut RM18,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keempat-empat tertuduh (gambar) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Empat sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki sehingga kerugian RM18,000, 21 Mac lalu.

Keempat-empat tertuduh iaitu P. Veeran, 36, S. Rohan Raj, 22, L. Yuvarajan, 21 dan S. Siva, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mereka didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa berusia 55 tahun iaitu risiko ditangkap polis. Perbuatan itu mendorong mangsa memberikan wang RM18,000 kepada tertuduh.

Kesalahan dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam, 21 Mac lalu di Desa Air Mas, Jalan Helang, Gelugor.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam, R. Puran.

Syairah Aqilah mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh. Mereka juga tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa. Peguam Puran bagaimanapun merayu supaya mahkamah mengurangkan wang jaminan tersebut.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 setiap seorang berserta syarat yang ditetapkan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 April ini.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Rohan Raj berdepan pertuduhan memiliki pistol tiruan dan menyamar polis di lokasi sama dan pada waktu sama. Lelaki itu mengaku tidak bersalah. Rakan Rohan, Veeran juga didakwa secara berasingan kerana menyamar polis di lokasi dan pada tarikh sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI