KOTA BHARU – Sebanyak 2,941 notis saman kepada 1,759 buah kenderaan dikeluarkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Kelantan bermula 24 Mac di Kelantan lepas sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,249 saman melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Selebihnya, sebanyak 239 notis saman Larangan Penggunaan Kenderaan, Notis Arah Periksa Kenderaan (231) dan Penahanan Kenderaan (15).
“Sepanjang tempoh itu, 8,370 buah kenderaan telah diperiksa dan empat disita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Operasi HRA JPJ 2025 di Akademi JPJ Wilayah Timur, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini malam tadi.
Mohd. Misuari memberitahu, jumlah saman yang dikeluarkan pada Ops Khas HRA 2025 kali ini menurun berbanding 10,639 notis saman untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Katahya, penurunan kes itu berikutan operasi memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan iaitu tidak mematuhi had laju, isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menghalang daripada memotong kenderaan lain dan memotong barisan serta menggunakan telefon bimbit. – KOSMO! ONLINE