PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin mati akibat jerutan yang kuat di leher yang mana mayatnya ditemui di aliran anak sungai berdekatan Apartment Idaman di Damansara Damai pada Disember 2023.
Pakar Perubatan Perunding Forensik Jabatan Perubatan Forensik yang kini bertugas Hospital Pasir Gudang Johor Dr. Rohayu Shahar Adnan berkata selain itu terdapat juga luka potongan dan hirisan pada telinga selain benda asing ditemui pada rongga tekak pernafasan sebelah kanan dan dalam perut si mati.
“Lelangit si mati turut lebam menunjukkan benda asing dimasukkan atau ditolak secara paksa ke dalam mulut. Walaupun begitu benda asing ini tidak membawa kepada kematian kerana si mati bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing (choked to death).
“Di bahagian dubur si mati terdapat luka-luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan,” katanya dalam pernyataan saksi.
Menurut beliau, kecederaan si mati adalah kecederaan ‘perimortem’ atau kecederaan baru sejurus sebelum kematian kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan (vital reaction) yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.
“Tiada penyakit serius pada organ dalaman yang ditemui. Jerutan di leher yang melebamkan otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan ianya cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen untuk ke paru-paru dan otak yang melemaskan si mati mengakibatkan kematian.
Dengan ini, saya simpulkan sebab kematian “Ligature Strangulation” (jerut),” ujarnya.
Kesemua dapatan dan hasil kecederaan-kecederaan itu diperoleh selepas itu saksi pendakwaan ke – 27 itu membuat bedah siasat terhadap mayat Zayn Rayyan pukul 12 tengahari pada 7 Disember 2023 semasa beliau bertugas di Hospital Sungai Buloh ketika itu.
Katanya, semasa proses bedah siasat itu ia turut dihadiri oleh Pegawai Penyiasat Asisten Superitendan Mohd. Nasir Mustapha dan pemeriksaan luaran ketika itu menunjukkan satu mayat kanak-kanak lelaki yang berpakaian seragam sekolah dengan lampin pakai buang berketinggian 119 sentimeter (cm) dan berat badan 17.2 kilogram (kg).
“Jasad si mati (ketika bedah siasat) telah mula membusuk menunjukkan warna kulit yang kehijauan, kulit mengelupas dan abdomen yang mengembung. Kesan rendaman iaitu kulit yang berkedut-kedut diistilahkan sebagai ‘washerwoman appearances’ terlihat pada kedua-dua tangan dan kaki si mati.
“Kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki seperti yang dinyatakan di atas iaitu ‘washer womanappearance’ hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air bukannya punca kematian kerana si mati tidak mati lemas di dalam air,” kata pernyataan saksi itu lagi.
Sementara itu, kepada soalan tambahan pihak pendakwaan mengenai punca jerutan dileher si mati saksi itu menjelaskan bahawa dari segi perubatan forensik ada perbezaan di antara jerutan dan gantung.
Menurut saksi itu, kesan jerutan (si mati) ‘horizontal’ (melintang) dan ia adalah sama iaitu enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri dan jerutan terhasil oleh sebarang objek yang boleh dibentuk contohnya, tali, lanyard atau kain yang dipintal.
“Berbeza dengan gantung ialah kesan ‘oblique’ (serong) kerana gantung adalah proses pasif makanya sebarang objek yang dibentuk dikeliling leher ianya akan diketatkan oleh berat badan si mati dan tarikan graviti,” kata saksi itu lagi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
INFO kecederaan Zayn Rayyan
- Mati akibat jerutan kuat
- Telinga dihiris
- Terdapat benda asing pada rongga tekak
- Lelangit lebam
- Luka koyakan pada dubur akibat kemasukan objek tumpul
- Luka hirisan pada lengan kanan