MARANG – Seorang wanita warga emas maut manakala tiga ahli keluarganya termasuk seorang orang kurang upaya cedera dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Taman Emas Murni, di sini, hari ini.
Kebakaran pada pukul 4 pagi itu meragut nyawa mangsa, Razaidah Mohamad, 78, yang terperangkap di dalam bilik tidurnya.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, Razaidah Mohamad, 78, terperangkap di dalam bilik tidurnya dan maut selain 60 peratus rumah keluarga tersebut musnah.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang pada pukul 5.57 pagi. Mayat mangsa (Razaidah) ditemui di dalam bilik tidur belakang rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Mohd. Sofian berkata, tiga ahli keluarga iaitu dua wanita dan seorang lelaki berjaya keluar menyelamatkan diri daripada kebakaran dengan bantuan penduduk setempat.
Beliau berkata, tiga mangsa yang cedera terbabit telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE