GEORGE TOWN – Seorang wanita Thai yang ditemukan terdampar dalam keadaan lemah di tepi laut berhampiran Persiaran Karpal Singh di sini, tengah hari tadi rupanya angkara terlalu rindukan mendiang ibu mentuanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, hasil siasatan mendapati mangsa cuba bunuh diri kerana teringatkan insan tersayang itu sempena musim Sembahyang Kubur (Ching Ming).
“Pihak Polis mengesahkan bahawa tiada unsur jenayah dalam kes ini,” katanya di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan hasil tindakan pantas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) telah berjaya menyelamatkan mangsa wanita berusia 46 tahun yang ketika itu ditemui dalam keadaan lemah, kira-kira pukul 1.48 tengah hari tadi.
Mangsa merupakan pemastautin tetap Malaysia dan berkahwin dengan seorang lelaki tempatan. -KOSMO! ONLINE