MELAKA – Sepasang suami isteri warga emas tidak menyangka tindakan mereka mengelap muntah seorang wanita yang pengsan di sebuah kedai makan di Bukit Rambai di sini menjadi tular di media sosial.
Kisah itu tular sejak kelmarin selepas seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Hazwani Mohd Dah membuat perkongsian dan menerima respons hampir 20,000 pengguna serta dikongsi semula lebih 3,000 kali.
Rata-rata pembaca menganggap kisah tersebut sebagai inspirasi apabila penulis turut mendedahkan bahawa kedua-dua warga emas itu merupakan pemilik beberapa buah stesen minyak di negeri ini.
Menceritakan kembali insiden itu, Sharifah Salim, 64, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama suaminya, Zulkifle Mohamad Nor, 64, ke kedai tersebut untuk bersarapan sebelum terlihat wanita terbabit rebah di atas meja.
Katanya, seorang wanita dikenali sebagai Hazwani bagaimanapun telah menghulurkan bantuan awal dengan cuba menelefon suami mangsa namun gagal.
“Kemudian suami saya hubungi rakan seorang doktor yang kebetulan ketika itu ingin datang beraya di rumah kami di Bertam Ulu untuk datang ke kedai memeriksa keadaan wanita tersebut.
“Selepas diperiksa, dia (mangsa) tiba-tiba sedar dan muntah dengan banyak lalu kami berdua segera ambil tisu mengelap sisa tersebut sehingga bersih,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah ibu anak tiga itu, niatnya ketika itu hanyalah ingin membantu apatah lagi mengenangkan keadaan mangsa yang berada seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga.
“Kami terbayangkan macam mana kalau itu anak kami, masa tu lah mak cik letak tangan di belakang badan dia urut sampai kita dapat rasa denyutan nadi barulah lega.
“Tak terfikir lah rasa geli lap muntah ke apa kerana memang kami ikhlas bantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang individu, tidak sangka pula pertolongan itu menjadi tular ” ujarnya.
Terdahulu, kisah keikhlasan pasangan berkenaan turut menarik minat ramai pihak sehingga penulis hantaran, Hazwani dijemput untuk menceritakan semula pengalaman tersebut di stesen radio Hot FM. – KOSMO! ONLINE