MUNICH – Harapan Bayern Munich untuk menampilkan skuad terbaik dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Inter Milan terencat apabila bintang muda sensasi, Jamal Musiala disahkan mengalami kecederaan hamstring yang serius.
Pemain berusia 21 tahun yang telah menjadi nadi utama serangan Bayern musim ini, mengalami kecederaan pada separuh masa pertama ketika kemenangan 3-1 ke atas Augsburg pada 4 April lalu.
Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan dia mengalami koyakan pada hamstring kiri dan dijangka perlu berehat sekurang-kurangnya lapan minggu sekali gus turut terlepas pertembungan menentang Inter di Allianz Arena pada 8 April nanti.
Menurut laporan, kecederaan itu bukan sahaja menjejaskan kekuatan Bayern untuk aksi Liga Juara-Juara, tetapi juga membayangkan kemungkinan Musiala hanya sempat pulih menjelang penghujung musim.
Pemain antarabangsa Jerman itu sebelum ini membentuk gandingan mantap bersama Harry Kane dan ketidakhadirannya dijangka mengurangkan kreativiti serta kelancaran gerakan serangan Bayern.
Kehilangan Musiala menjadikan krisis kecederaan di kem Bayern semakin parah apabila sebelum ini, pengendali Vincent Kompany sudah pun kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Alphonso Davies, Dayot Upamecano, Hiroki Ito, Kingsley Coman, Aleksandar Pavlovic dan penjaga gol utama, Manuel Neuer.
Situasi itu memaksa Kompany untuk memikirkan alternatif terbaik bagi mengisi kekosongan di jentera tengah menyerang.
Meskipun Bayern kini selesa mendahului Bundesliga dengan enam mata, tumpuan utama kini sudah beralih ke pentas Eropah, namun dengan senarai kecederaan yang panjang, tekanan jelas memuncak buat Kompany menjelang pertembungan sukar itu.
“Ini akan jadi ujian besar buat kami. Kami kehilangan beberapa pemain utama, tapi kami tetap bersedia untuk memberi segalanya menentang Inter. Dalam Liga Juara-Juara, tidak ada ruang untuk alasan,” katanya.
Ketiadaan Musiala dan rakan sepasukan yang lain pastinya akan merubah perancangan taktikal Bayern, namun dengan sejarah dan reputasi besar mereka di pentas Eropah, sukar untuk menolak keupayaan kelab Bavaria itu untuk bangkit biarpun dalam keadaan serba kekurangan. – AGENSI