fbpx

UCL: Arteta keluar kenyataan ‘berani mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARSENAL tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan ketika bertemu Real yang dianggap lebih berpengalaman dalam saingan UCL. - AFP

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tetap tenang menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) menentang juara bertahan, Real Madrid yang akan berlangsung di Stadium Emirates awal pagi esok.

Walaupun menyifatkan aksi bertemu Real sebagai cabaran terbesar mereka pada saingan musim ini, namun pengendali dari Sepanyol itu menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan anak-anak buahnya untuk memberikan saingan.

Arteta menghormati Real yang dianggap sebagai ‘raja’ dalam pertandingan itu, tetapi beliau langsung tidak gentar dengan cabaran bakal dihadapi meskipun ramai meramalkan Arsenal akan berdepan kesukaran.

Beliau juga seolah-olah melontarkan cabaran buat juara Eropah 15 kali itu apabila menganggap Arsenal merupakan pasukan lebih baik berbanding Real, terutamanya dari segi ketajaman di depan gol.

“Saya rasa sangat teruja kerana kami diundi bertemu pasukan yang amat dinantikan. Real Madrid merupakan raja dalam pertandingan ini berdasarkan sejarah dan apa yang mereka lakukan dalam padang.

“Ini memerlukan kami untuk berada pada prestasi terbaik. Apa yang pasti, kami merupakan pasukan yang lebih baik berbanding mereka kerana kami lebih tajam ketika berada di depan gawang lawan,” katanya.

Arsenal dijangka akan memanfaatkan situasi sukar yang dihadapi Real ketika ini, terutamanya selepas mereka tewas mengejut 2-1 kepada Valencia di Santiago Bernabeu dalam aksi La Liga Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Arteta tetap memberikan amaran kepada anak-anak buahnya supaya jangan mengambil mudah cabaran Real meskipun pasukan gergasi Sepanyol itu berada dalam keadaan tidak menentu.

“Real memiliki kelebihan dari segi karakter kerana pemain-pemain mereka sukar dijangka ketika dalam perlawanan. Aspek itu tidak boleh dilatih dan mereka sangat berbahaya jika diberikan ruang,” ujarnya.

Sebagai rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak empat kali sebelum ini dengan menyaksikan Arsenal menjadi pasukan lebih baik apabila memenangi dua perlawanan manakala dua lagi pertemuan berkesudahan dengan keputusan seri. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI