JOHOR BAHRU – Tumpahan minyak sebanyak 1.6 meter padu yang berlaku di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini pada 3 April lalu dijangka selesai dibersihkan sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, insiden tumpahan itu bagaimanapun tidak serius kerana berjaya dikesan dan tindakan awal telah diambil segera.
“Kerja-kerja pembersihan sedang dibuat dan hampir selesai. Kita jangka dalam tempoh sehari atau dua hari akan selesai sepenuhnya. Kos pembersihan ditanggung syarikat kapal terlibat.
“Insiden ini juga tidak menjejaskan nelayan tempatan khususnya di kawasan berhampiran kerana pihak berkuasa Malaysia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani kejadian seperti ini,” katanya ketika mengulas berhubung kejadian tumpahan minyak di Tanjung Langsat Port Terminal (TLPT), Pasir Gudang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Johor di Hospital Sultan Ismail, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut.
Tambah Tian Soon, pihak Singapura turut maklum kejadian tumpahan minyak tersebut dan telah mengambil langkah pencegahan sewajarnya.-KOSMO! ONLINE