PETALING JAYA – Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air disyorkan dikenakan tindakan buang sekolah selepas didapati terlibat dengan kejadian buli, baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siasatan mendapati dua daripadanya terlibat buli fizikal manakala bakinya bersubahat.
“Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara),” katanya di Facebook.
Semalam Asyraf Wajdi berkata, kesemua pelajar itu telah digantung persekolahan sehingga siasatan terperinci lengkap.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Asyraf Wajdi mengarahkan pegawainya melakukan siasatan segera terhadap video tular dipercayai membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebut memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil, selain mangsa disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung. – KOSMO! ONLINE