fbpx

TPM harap elaun sukarelawan APM dinaikkan kepada RM80 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid dan Fadillah ketika hadir ke Majlis Perasmian Penutup Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2025 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam di Kajang, Selangor hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KAJANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap elaun sukarelawan yang berkhidmat dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan dinaikkan kepada RM80 sehari.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, ketika ini sukarelawan APM menikmati elaun sebanyak RM40 sehari.

“Elaun yang diberikan untuk kerja-kerja sukarelawan ini setakat ni hanya RM40. Saya telah memperjuangkan perkara ini di mesyuarat Jemaah Menteri agar disamaratakan elaun diberi sebanyak RM80.

“Insya-Allah, rakan karib saya, Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri) dan Datuk Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) akan bersama saya untuk (memperjuangkan) elaun APM dinaikkan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Bulan Pertahanan Awam Tahun 2025 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam dekat sini hari ini.

Bermula tahun 2023, pelatih sukarela yang berkhidmat dengan APM menikmati kenaikan elaun harian sebanyak RM40 berbanding cuma RM5 sejak 1970.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pertahanan awam merupakan barisan kedua dalam pertahanan sesebuah negara.

Bagaimanapun, katanya, APM mutakhir ini sentiasa berada di barisan hadapan termasuk dalam insiden insiden ­letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Menurut beliau, pegawai dan anggota APM antara yang tiba paling awal di lokasi kejadian walaupun pada hari raya Aidilfitri kedua bagi membantu para mangsa.

“Mereka berada di ‘ground zero’ untuk membantu mangsa-mangsa kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji kecemerlangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terlibat dalam misi bantuan gempa bumi Myanmar.

“Pasukan SMART Malaysia antara pasukan mencari dan menyelamat khas ternama di Asia selain Jepun. Bagi seluruh ASEAN, hanya Malaysia ada pasukan SMART.

“Mereka telah mengharumkan nama negara di Myanmar. Saya telah meminta Ketua Pengarah untuk memberi sijil penghargaan kepada mereka semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI