IPOH – Tiada sistem pengudaraan keluar dan masuk udara di lubang pembetung dipercayai menjadi punca kematian tiga lelaki di tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol dekat Sumpitan, Lenggong Ahad lalu.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam kenyataannya berkata, pemeriksaan di lokasi berkenaan juga mendapati tapak pembinaan tersebut tidak mempunyai rekod bagi prosedur kerja selamat di ruang terkurung sebagaimana peruntukan Tataamalan Industri Bekerja di Ruang Terkurung 2010.
Bahkan, katanya, tapak pembinaan resort itu juga didapati masih belum membuat pemberitahuan projek pembinaan (JKKP 12) kepada jabatan.
“Notis pemberhentian serta-merta ke atas semua aktiviti kerja di lubang pembetung telah dikeluarkan dan sitaan kawasan kerja dilakukan sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Surat arahan juga dikeluarkan bagi memastikan Prosedur Kerja Selamat dan Pentaksiran Risiko dijalankan bagi aktiviti di lubang pembetung itu selain melantik individu berkelayakan termasuk Penguji Gas Bertauliah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan siasatan awal pegawai penyiasat, dua mangsa maut merupakan pekerja harian bagi menjalankan kerja-kerja am termasuk pembinaan sistem pembentungan dan seorang lagi mangsa ialah orang awam.
Katanya, kerja-kerja konkrit untuk pembinaan lubang pembetung bersaiz 4.04 meter panjang, 5.20 meter lebar dan 2.4 meter dalam itu telah dijalankan dalam tempoh dua minggu lalu dan telah menutup sepenuhnya kawasan lurang (mainhole) setelah kerja konkrit siap.
“Pada pukul 9.30 pagi hari kejadian, mangsa pertama membuka mainhole dan memasuki lubang pembetung menyebabkan dia pengsan sebelum mangsa kedua turun untuk membantu di mana dia turut tidak sedarkan diri.
“Mangsa ketiga yang ingin membantu dua rakannya juga pengsan. Mangsa pertama dan kedua meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa ketiga meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong,” katanya. – KOSMO! ONLINE